Saturday, June 4, 2011

wuduk di atas lapisan solek

Salam..
Ptg tadi ketika berwudhu' untuk menegerjakan solat magrib saya tiba2 terfikir tentang tajuk entri ini. Hal ini adalah common bagi muslimah dan jarang yang mengetahui tentangnya sedalam2nya. Oleh yang demikian, saya rajinkan diri mengkaji sedikit berkenaan dengan tajuk entri di atas. Semoga entri ini dapat dikongsi bersama dan menambahkan sedikit ilmu pengetahuan kita ;)



Perbincangan ini lebih tepat ditujukan kepada para wanita yang hendak berwudhu' lalu di tangan atau di muka terdapat lapisan alat-alat solek seperti pewarna kuku, bedak dan berbagai lagi. Maka timbul pula persoalan - Adakah dibolehkan berwudhu' di atas lapisan-lapisan solek tersebut atau adakah ia perlu dibasuh dan dihilangkan terlebih dahulu ? Atau adakah sebarang kemudahan hukum agama terhadapnya ?

Bagi memberikan jawapan yang jelas, perhatian dibawa kepada ayat al-Qur'an yang mensyari'atkan wudhu', iaitu firman Allah Azza waJalla: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudu'lah) iaitu BASUHLAH muka kamu, dan kedua belah tangah kamu ;meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. [Maksud surah al-Maidah 05 - 06]. Dari ayat di atas, perkataan maka basuhlah berasal dari Bhs. Arab - membawa maksud dalam hukum tafsir sebagai 'mengalirkan air atas sesuatu untuk menghilangkan kotoran yang melekat padanya.' [1]

Maka apabila kita berwudhu' , adalah dituntut supaya setiap anggota yang wajib dibasuh itu dikenakan air yang mengalir bagi memenuhi syarat wudhu' sebagaimana perintah ayat al-Qur'an di atas. Termasuk dalam tuntutan ini ialah meratakan air di seluruh kawasan anggota wudhu' tersebut. Apabila ada suatu bahagian atau kawasan yang tidak kena air, samada kerana ia diliputi sesuatu atau kerana air tidak sampai kepadanya maka wudhu' tersebut tidaklah sah. Pernah sekali Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melihat beberapa orang di kalangan para sahabat yang baru selesai berwudhu' tetapi tumit kaki mereka kelihatan kering tidak disentuh air. Maka beliau memerintah mereka agar mengulangi semula wudhu' tersebut dan meratakan air dengan sempurna di setiap bahagian anggota wudhu' yang wajib dibasuh.[2]

Walaubagaimanapun berbeza hukumnya dengan pembasuhan kepala dalam etika berwudhu'. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman dalam ayat yang sama di atas ……dan sapulah sebahagian dari kepala kamu……. Perkataan dan sapulah berasal dari Bahasa Arab yang mengandung erti dalam hukum tafsir sebagai menyentuh bahagian tanpa mengalirkan air.[3] Justeru itu para fuqaha menyatakan bahawa pembasuhan kepala adalah menepati syarat hukum dengan melalukan tangan yang basah di atasnya.[4]

Oleh itu apabila seseorang itu berwudhu' dia tidak perlu membasuh kepalanya dengan air yang mengalir sebagaimana dia membasuh muka, tangan dan kakinya.
Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa setiap anggota wudhu' kecuali kepala perlu dibasuh dengan sempurna. Wajib dialirkan dan diratakan air pada keseluruhan bahagiannya. Oleh itu jikalau ada bahagian yang tidak terkena air atau terlindung di sebalik sesuatu yang kalis air seperti lapisan solek atau krim pelembab atau minyak atau cat atau debu tebal atau apa-apa yang seumpama maka wudhu' tersebut adalah tidak sah.[5]

Walaubagaimanapun pengecualian diberikan kepada seseorang yang benar-benar menghadapi kesukaran untuk menghilang sesuatu yang melekat pada mana-mana anggota wudhu'nya. Contohnya ialah seseorang yang sedang memandu di lebuh raya pada awal pagi lalu keretanya tiba-tiba mengalami kerosakan. Dalam usahanya untuk membetulkan semula kereta itu masuk pula waktu solat Subuh dan bekalan air yang ada pula hanya memadai untuk dia berwudhu' dan tidak mencukupi untuk dia membasuh kesan-kesan minyak pada tangannya. Maka dalam keadaan sebegini yang tidak dapat dielakkan, dia dibolehkan terus berwudhu' dan bersolat seperti biasa.

Pengecualian juga terbuka kepada buruh-buruh kerja kasar yang tidak dibekalkan oleh pihak majikan alat-alat penyucian untuk membersihkan diri, maka mereka dibolehkan berwudhu' dan solat seperti biasa sekalipun anggota-anggota wudhu' mereka jelas diselaputi kesan-kesan cat, semen, minyak tar atau lain-lain. Demikian juga bagi seseorang yang suasana kerjaya mereka memaksa mereka memakai alat-alat solek seperti pramugari-pramugari penerbangan, maka mereka juga dibolehkan berwudhu' dan solat seperti biasa sekalipun terdapat pewarna-pewarna kuku atau apa-apa yang seumpama di anggota-anggota wudhu' mereka.[6]

Kebolehan ini berdasarkan kepada prinsip Syari'at Islam yang sememangnya memberikan kemaafan kepada seseorang apabila dia menghadapi suasana kesulitan atau kesukaran yang benar-benar tulen lagi tidak disengajai dan tidak boleh dielakkan. Dalil yang digunakan oleh para ahli Usul Fiqh ialah firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam surah at-Taghabun 64, ayat 16 yang bermaksud: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.

Senada dengan ayat di atas adalah sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Apabila aku mencegah kamu dari suatu pekerjaan maka jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu suruhan maka hendaklah kamu lakukannya sedaya-upaya." [7]

Akan tetapi kemaafan agama berdasarkan dalil-dalil di atas hanyalah bagi seseorang yang benar-benar sukar lagi sulit untuk mengelakkan diri daripada sesuatu yang telah ditentukan syari'at. Oleh itu kemaafan di atas bukanlah boleh diamal-gunakan oleh setiap orang dengan sewenang-wenangnya. Seseorang yang di atas pilihan serta kesedarannya sendiri memakai alat-alat solek tidaklah dipandang sebagai orang yang boleh diberikan kemaafan serta kemudahan hukum agama. Malah lebih dari itu Islam sememangnya tidak menyokong perbuatan bersolek oleh kaum wanita di hadapan khalayak ramai (tabaruj) dan justeru itu mustahil pula Islam dengan mudah akan memberikan kemaafan kepada sesuatu yang sengaja menyalahi ajarannya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...